Hasrat Balik Kampung Bertukar Tragedi



 KUALA LIPIS - Hasrat tujuh sekeluarga untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri di Kelantan bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut dalam kejadian kemalangan kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

 Dalam kejadian di kilometer 9 jalan Lipis Jerantut dekat Kampung Kuala Lanar, mangsa, Roslina Mohd Yusoff, 42, yang merupakan penumpang hadapan kereta Perodua Alza maut di tempat kejadian.

 Suami mangsa, Jamalludin Yahaya, 44, merupakan pemandu kenderaan serta seorang anak mereka, Nur Ilya Syazwana, 5, yang duduk di kerusi penumpang belakang mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Lipis.

 Tiga lagi anak mangsa, Mohd Syazwan, 19, pelajar Kolej Kemahiran Teknikal Johor ; Nur Ilya Syazwani, 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Tiram, Johor; Mohd Syakim, 15, pelajar SMK Ulu Tiram, Johor serta seorang saudara mereka, Suriati Mohd Yusoff, 38, hanya cedera ringan dan telah menerima rawatan di Hospital Lipis.

 Turut mengalami kecederaan ringan ialah pemandu sebuah lagi kenderaan Toyota Fortuner, Datuk Kamalrulbaharin Ibrahim, 53.

 Ketua Polis Lipis, Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila Perodua Alza yang dinaiki tujuh sekeluarga itu sedang dalam perjalanan dari Johor menghala ke Gua Musang, Kelantan.

 Menurutnya, sampai di tempat kejadian Jamaluddin yang memandu MPV terbabit dipercayai mengantuk lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Toyota Fortuner yang dipandu  Kamalrulbaharin secara bersendirian.

 "Kejadian tersebut menyebabkan kedua-dua kenderaan tersebut bertembung secara depan-depan.

 "Roslina yang merupakan suri rumahtangga disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Lipis untuk bedah siasat, "katanya di sini.

 Beliau berkata, siasatan ditempat kejadian  mendapati cuaca baik, permukaan jalan kering, jalan lurus menuruni bukit dari arah Jerantut ke Lipis, sistem jalan satu lorong dua hala dan garisan  putus-putus ditengah jalan sebagai pembahagi jalan.

 Tambahnya, kejadian berpunca daripada pemandu Perodua Alza yang telah memasuki laluan pemandu Toyota Fortuner menyebabkan kedua-dua kenderaan tersebut bertembung sesama sendiri.

 Katanya, kes disiasat kes itu disiasat mengikut Sekyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih giat dilakukan.



Sumber : Sinar Harian

0 comment... add one now