Perjalanan Ke Majlis Konvokesyen Mendapat Saman

Melaka: “Bang! saman kesalahan nombor plat berapa? Saya nak konvokesyen siang nanti,” tanya seorang graduan Diploma Rekabentuk Grafik yang ditahan polis dalam Ops Lalu Lintas di Jalan Syed Abdul Aziz dari arah Melaka Raya ke Taman Kota Laksamana, di sini, kira-kira jam 1.30 pagi, semalam.
Graduan sebuah universiti di Alor Gajah itu berkata, dia meminjam kereta saudaranya untuk menghadiri majlis konvokesyen bersama tiga lagi rakan serta menyewa hotel bajet di bandar raya ini.

“Selepas menyewa hotel, kami keluar mengisi minyak kereta yang hampir habis. Saya langsung tidak sedar satu nombor plat hadapan kereta patah,” katanya.

Graduan terbabit antara 188 pengguna jalan raya menerima pelbagai saman dalam operasi dilakukan Polis Trafik Daerah Melaka Tengah di Jalan Tun Perak, Syed Abdul Aziz dan Ong Kim Wee, di sini.
Sementara itu salah seorang penunggang motosikal berusia 25 tahun yang ditahan polis memberi alasan tidak tahu mengapa ekzos motosikalnya menghasilkan bunyi bising.

“Semalam ekzos ini sunyi sepi. Entah mengapa bunyi kuat pula hari ini,” kata lelaki terbabit.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, seramai tiga pegawai dan sembilan anggota trafik dibantu tiga pegawai dan 42 anggota Sukarelawan Polis Diraja Malaysia (SPDRM) terbabit dalam operasi itu.

“Operasi dilakukan di tiga lokasi dari jam 11 malam hingga 4 pagi dan sebanyak 280 kenderaan diperiksa.

“Kita turut menyita 11 motosikal membabitkan pelbagai kesalahan,” katanya.


0 comment... add one now