''Bertudung Bukan Kerana Mahu Buat Bisnes Tudung''- Jue Aziz




Pelakon Jue Aziz menyangkal dakwaan segelintir pihak yang menganggap keputusannya berubah imej adalah kerana mahu menjalankan perniagaan menjual tudung atau pakaian muslimah.

Jue atau nama sebenarnya Zuliana Abd Aziz, 32, berkata, dia tidak pernah memikirkan hal tersebut biarpun mengakui sejak berhijab, banyak tawaran diterimanya supaya dia menjadi duta produk.

"Saya ada baca komen dan kritikan pihak-pihak yang menganggap saya bertudung kerana sebab tertentu dan mereka kata saya mahu jual tudung.

"Saya tidak fikir pun untuk bisnes tudung, walau pun selepas bertudung sejak sebulan lalu banyak tawaran untuk saya menjadi duta produk tertentu," ujarnya kepada mStar Online.

Tambah Jue, dia mahu perubahan kepada imej baharu dilakukan secara perlahan-lahan agar ia dapat diterima secara positif oleh peminat-peminatnya tanpa sebarang prasangka buruk.


Filem terbaharu lakonan Jue Aziz iaitu Kapsul akan ditayangkan pada Khamis ini.

Dalam pada itu, Jue berkata, dia juga mengingatkan peminat-peminatnya agar tidak mudah melenting apabila melihat lakonan-lakonannya yang tidak bertudung.

Katanya, terdapat beberapa filem dan drama lakonanya sebelum berhijrah belum lagi disiarkan.

"Saya tahu akan ada yang mempertikaikan saya kejap pakai tudung kejap tidak pakai, mereka mungkin akan keliru sebab ada filem dan drama saya ketika belum bertudung belum lagi ditayangkan.

"Jika ada yang hentam beri komen negatif ia adalah perkara biasa yang sudah dijangka," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Jue bakal keluar dengan filem baharu berjudul Kapsul yang akan ditayangkan pada Khamis ini.

Jue membawakan watak wanita ketika zaman penjajahan Jepun menganggap watak tersebut mencabar lakonanya.

"Watak saya dalam filem itu agak berat biarpun tidak banyak babak tetapi saya berbangga dapat terlibat untuk filem ini.

"Bagi menjayakan watak ini saya banyak membaca dan mengambil kisah nenek saya yang selalu bercerita tentang kehidupannya ketika berada di zaman tersebut," ujarnya.

Filem yang menampilkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu turut dibintangi oleh Faizal Hussein, Zamarul Hisham, Elly Mazlein dan Datuk Rahim Razali.

0 comment... add one now