Spekulasi Politik Penyebab Ringgit Jatuh - Najib Razak



Spekulasi politik yang keterlaluan menyumbang kepada kejatuhan nilai mata wang ringgit berbanding dolar Amerika baru-baru ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata wujudnya mainan dan spekulasi politik yang keterlaluan itu menyebabkan sentimen yang tidak menentu terhadap pentadbiran negara.

Ia antara empat faktor yang digariskan Najib dalam laman blognya berhubung penyusutan nilai ringgit.

Penurunan harga komoditi seperti minyak, minyak sawit dan getah secara mendadak juga telah menyebabkan kejatuhan ringgit, lebih-lebih lagi kerana Malaysia adalah pengeluar komoditi-komoditi berkenaan.

"Tindakan Kerajaan China menurunkan mata wang Yuan sekaligus menyebabkan kejatuhan mata wang negara Asean yang lain," kata Najib dalam blognya www.najibrazak.com.

Menurutnya, jangkaan bahawa Amerika Syarikat akan menaikkan kadar faedah membuatkan ramai pelabur di serata dunia memindahkan dana mereka ke dalam mata wang Amerika.

Biarpun berdepan pelbagai cabaran termasuk lakaran negatif segelintir pihak terhadap keadaan ekonomi negara, namun tegas Najib, laporan terkini Bank Negara Malaysia menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang stabil dengan kadar pertumbuhan sebanyak 4.9% pada suku kedua 2015.

Dalam pada itu, najib memberi jaminan bahawa kerajaan akan cuba sedaya upaya untuk menangani keadaan ini dengan tujuan untuk menstabilkan keadaan ekonomi negara.
Sementara itu, ringgit ditutup pada paras 4.0080/0130 berbanding dolar pada pukul 5 petang tadi berbanding 4.0375/0415 semalam.

0 comment... add one now