Pekerja Temu Bayi Dalam Loji Kumbahan

GEORGETOWN - Janin lelaki yang masih bertali pusat ditemui dalam loji kumbahan di Taman Desa Wangsa, Permatang Damar Laut dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Lai Fah Hin berkata janin yang dipercayai berusia lebih kurang lima bulan itu ditemui oleh seorang pekerja pembersih loji kira-kira pukul 5.30 petang ini.
     
"Semasa pekerja lelaki berkenaan sedang membersihkan loji kumbahan berkenaan dia ternampak satu objek yang menyerupai bentuk bayi sebelum menarik dan mengangkatnya untuk melihat lebih dekat.
   
"Sebaik berjaya mengangkat objek berkenaan, pekerja itu mendapati ia adalah janin yang masih bertali pusat dan terus menghubungi polis bagi memaklumkan penemuan terbabit," katanya di sini malam ini.
   
Beliau berkata sepasukan polis dihantar ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan berhubung penemuan janin terbabit.
   
Fah Hin berkata janin lelaki yang sudah cukup sifat itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.
   
Katanya siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan mereka yang terlibat membuang janin berkenaan. - Bernama

0 comment... add one now