Nilai RInggit Jatuh: " Macam Kita Pergi Pasar" - Mustapha Mohamed



KOTA BHARU - Penurunan nilai ringgit di pasaran antarabangsa yang dikaitkan dengan ekonomi Malaysia yang terlalu bergantung kepada minyak dan gas, yang turut mengalami kejatuhan, adalah tidak benar.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata penurunan nilai ringgit kepada 3.9 berbanding US$1 disebabkan pasaran tukaran wang yang sentiasa berubah setiap hari.

"Jadi turun naik ringgit ini adalah satu perkara yang memang berlaku hari-hari kerana dia berubah, macam kita pergi pasarlah. Itu bergantung pada penawaran dan permintaan.

"Sedikit sebanyak kita bergantung (kepada minyak dan gas) tapi tidaklah besar sangat. Yang penting asas ekonomi Malaysia masih lagi kukuh," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri  Peringkat Wisma Persekutuan Kota Bharu, di sini hari ini.

Ditanya mengenai kejatuhan ringgit turut disebabkan oleh persepsi negatif masyarakat antarabangsa terhadap beberapa isu politik yang berlaku dalam negara, beliau berkata: "Isu-isu berkaitan keadaan politik, itu kita akui ada pengaruhnya. Ini yang kita perlu urus dan jernihkan keadaan.

Dalam masa yang sama, beliau berpendapat tindakan segelintir pihak yang membuat unjuran bahawa ringgit akan terus menjunam, adalah tidak wajar.

"Saya tahu ada beberapa orang buat andaian, dan saya rasa ia tidak wajar untuk buat unjuran memandangkan kita nak tahu secara tepat apa yang berlaku kepada pasaran adalah satu perkara yang mustahil," katanya. - Bernama

- Sinar harian

0 comment... add one now