Akta Komunikasi Baharu Oktober Ini Tidak Akan Sekat Suara Rakyat - Salleh Keruak



Kerajaan tidak akan menyekat suara dan kebebasan rakyat dalam memberi pandangan serta kritikan terhadap kerajaan, tegas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Salleh ketika dihubungi Sinar Online berkata, tidak ada istilah sekatan bagi rakyat yang mahu menyuarakan kritikan terhadap pentadbiran kepada kerajaan kerana pindaan akta yang dibuat hanya untuk menyekat isu-isu yang boleh menjejaskan keselamatan dan keamanan dalam negara.

“Isu-isu seperti fitnah, IS, atau fahaman ekstrimisme serta pornografi, yang mana boleh menjejaskan kepentingan negara, keamanan atau keselamatan negara wajar diambil tindakan.

“Pindaan yang bakal dibentangkan pada Oktober nanti bertujuan untuk menyekat elemen-elemen seperti itu. Pindaan tidak bertujuan menghalang rakyat dari menyuarakan pendapat secara bebas menerusi media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tujuan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998 yang bakal diusul dalam sidang Dewan Rakyat pada Oktober nanti.

Menurutnya lagi, tidak menjadi satu kesalahan bagi rakyat untuk mengkritik pentadbiran kerajaan, asalkan ia dibuat dengan betul dan melalui cara yang berhemah.

Sebelum ini, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil mendakwa pindaan tersebut dibuat bertujuan untuk ‘menutup mulut’ rakyat dari terus menyuarakan pendapat dan kritikan terhadap  kerajaan.

0 comment... add one now