2 Paraglider Maut Tersangkut Pada Pokok

Dua paraglider maut di Gunung Jerai
GURUN: Dua peluncur sukan udara paraglider maut apabila paraglider yang dinaiki mereka terhempas lalu tersangkut di atas pokok di Gunung Jerai dekat Gurun, Kedah hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi, mangsa, Mohd Hazlan Ismail, 32, dan Liang Chong Kee, 52 tahun dari Kelab Luncur Udara Indera Kayangan, Perlis mati di tempat kejadian akibat kecederaan yang parah di kepala.

Dipercayai sewaktu kejadian, mangsa mengalami kesukaran untuk mengawal paraglider mereka berikutan ketika luncuran keadaan angin agak kencang sehingga menyukarkan kawalan.

Paraglider yang dinaiki mangsa juga dikatakan gagal diimbangi lalu mengakibatkan mereka terhempas di kawasan cerun bukit.

Menurut Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kedah, Nazri Zakaria, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.53 tengah hari.

Bomba katanya terpaksa mengambil masa hampir satu jam setengah untuk membawa turun mangsa yang tersangkut di atas pokok.

“Bila kita sampai kita dapati dua orang paraglider tersangkut di pokok yang tinggi dalam 20 kaki ketinggiannya tetapi telah diturunkan ke bawah oleh rakan-rakannya.

”Pihak bomba hanya menurunkan dia (dari atas bukit)  dengan menggunakan tali dan jugak stretcher (tandu) ke bawah jadi keadaan mangsa ni kedua-dua tu agak kritikal,” kata  Nazri.

Kesukaran terpaksa ditempuhi apabila kedudukan mangsa berada di tebing curam kira-kira empat meter menuju puncak Gunung Jerai.
Mayat kedua-dua mangsa di hantar ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk bedah siasat.

Ini merupakan kejadian pertama melibatkan sukan itu selepas kawasan Gunung Jerai dijadikan lokasi aktiviti sukan luncur udara paragliding sejak ia dilancarkan Mac lalu.

0 comment... add one now